Sabtu, 18 Oktober 2008

LATAR BELAKANG SEKOLAH

Semangat Kebangsaan yang wujud dalam tahun 1949 untuk menuntut kemerdekaan telah menyebabkan timbulnya kesedaran bagi penduduk-penduduk di Kampung Sungai Bogak. Mereka mulai sedar betapa pentingnya pelajaran kepada anak-anak kampung. Namun begitu sistem pembelajaran yang sempurna masih belum wujud di kawasan Sungai Bogak. Oleh itu orang ramai telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah badan khas mengurus anak-anak tempatan memperolehi ilmu pengetahuan yang sempurna. Akhirnya pada bulan Disember 1949 telah terbina bangunan yang dinamakan Sekolah Melayu Sungai Bogak.

Bangunan telah didirikan secara bergotong-royong oleh penduduk tempatan yang diketuai oleh Encik Darus bin Bakar, sebagai Ketua Kampung Sungai Bogak ketika itu. Bangunan asal ini berukuran lebih kurang 30 kaki x 60 kaki, yang hanya diperbuat daripada papan dan berbumbungkan atap nipah. Sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh Tuan Douglas Muir, iaitu Nazir bagi sekolah-sekolah Perak Utara pada 5 Februari 1950. Murid-murid yang belajar pada kali pertama di sekolah ini hanya seramai 80 orang di bawah bimbingan 3 orang guru sahaja. Pada ketika itu Guru Besar ialah Tuan Haji Abdul Rahim bin Said.

Bilangan murid semakin bertambah dari tahun ke tahun sehinggalah bangunan yang ada tidak dapat menampung bilangan murid yang semakin ramai. Pada tahun 1954 bilangan murid telah bertambah kepada 143 orang dan bilangan guru juga bertambah menjadi 5 orang. Oleh yang demikian sebuah bangunan tambahan terpaksa didirikan untuk menampung pertambahan murid. Pihak Pejabat Pelajaran Perak telah bersetuju untuk mendirikan sebuah bangunan tambahan yang mempunyai dua bilik darjah pada 1 Januari 1957. Pada ketika itu bilangan murid seramai 188 orang dan mempunyai 5 orang guru.

Masa terus juga beredar, begitu juga dengan perkembangan Sekolah Sungai Bogak. Jumlah murid terus meningkat hasil dari kesedaran ibubapa dalam kawasan persekitaran. Oleh itu pihak pentadbiran sekolah merancang untuk mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan sebagai tapak bagi mendirikan bangunan yang baru. Sebelum ini bangunan yang lama didirikan di atas tanah wakaf berhampiran dengan Masjid Sungai Bogak. Satu kawasan yang sesuai telah ditemui. Tanah Lot 8944 yang berkeluasan 2.4 hektar, tanah kepunyai Ladang Sungai Bogak telah dikemukakan kepada pihak Pejabat Pelajaran Perak. Pada awal 1964 pihak tuan tanah telah bersetuju menyerahkan kawasan tersebut kepada pihak sekolah.

Akhirnya pada 19 Oktober 1964, sebuah bangunan baru nombor kebenaran 796 telah didirikan. Bangunan yang berukuran 39.65 meter x 7.62 meter mengandungi 4 bilik darjah ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Sungai Bogak. Pembinaan ini juga melibatkan 2 buah rumah guru. Pada 30 Oktober 1964 kompleks sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkil Alalahi Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah. Mulai dari 1 Januari 1965, semua murid yang belajar di sekolah lama diarahkan berpindah ke bangunan baru. Guru Besar yang bertugas ketika itu ialah Allahyarham En. Mohd Yusof bin Ahmad dan bilangan guru seramai 8 orang serta pelajarnya pula seramai 217 orang.

Bangunan-bangunan yang telah dibina itu masih digunakan sehingga sekarang. Masa terus beredar dan keperluan semakin meningkat bagi bilik-bilik khas seperti kelas Pemulihan, Bilik Pusat Sumber, Bilik Sembahyang perlu diwujudkan selaras dengan keperluan semasa. Maka pada tahun 1988 padang sekolah telah dinaikan taraf. Pada tahun 1989 peruntukkan sebanyak RM50,000.00 diluluskan bagi pembinaan bangunan tambahan sebanyak 4 bilik darjah lagi.

Pembangunan diteruskan lagi dengan pembinaan surau secara bergotong-royong tanda permuafakatan yang jitu antara pihak sekolah, ibubapa dan masyarakat setempat dengan kos sebanyak RM15,000.00 pada tahun 1990. Pada tahun 1993 penaikan taraf kantin bernilai RM10,000.00 manakala pada tahun 1994 dataran kejat telah diperbaiki dan seterusnya pada tahun 1995 pendawaian semula telah dibuat beserta tangga di hala turun pada bangunan utama dan tandas bagi keselesaan para pelajar sekolah ini.